Beberapa hari sebelum Majlis
Konvokesyen, saya telah ditawarkan bekerja dengan salah sebuah institusi
perbankan di Kuala Lumpur. Pada ketika itu usia saya 22 tahun dan jawatan yang
ditawarkan adalah Eksekutif Sokongan Kredit yang terletak di tengah-tengah kota
Kuala Lumpur. Saya menerima jawatan itu dengan hati yang terbuka dan teruja
kerana pada ketika itu masih ramai rakan-rakan saya yang belum lagi memperoleh
jawatan tetap seperti itu. Namun, itu bukanlah sesuatu yang mudah bagi anak
gadis yang masih dikira mentah yang berasal dari sebuah daerah ‘sub urb’ di negeri Johor. Tetapi saya
kuatkan juga hati dan bertolak dari kampong halaman dan memandu sendirian
dengan meminjam kereta ibu saya bersama beberapa helai baju kerja bersama
barang-barang keperluan lain. Pada waktu itu juga, saya masih belum mempunyai
rumah sewa dan telah memutuskan untuk menumpang sahaja di rumah sewa rakan yang
berada di Serdang. Beberapa minggu juga saya hidup menumpang belas ikhsan rakan
sebelum mendapat rumah sewa baharu.
Minggu-minggu awal memulakan
kerjaya bukanlah mudah seperti yang diharapkan. Saya mengalami kesukaran untuk
mengadaptasi cara hidup dan cara kerja yang jauh dari jiwa saya. Saya bencikan
kesesakan kota. Apa yang wajib saya tempuh setiap hari bekerja adalah memandu
dari Serdang ke Stesen LRT Sungai Besi, kemudian terus ke Stesen LRT masjid
Jamek dengan transit aliran ringan itu. Itulah rutin saya setiap pagi hari
bekerja. Setelah tiba di pejabat, saya bersarapan dan kemudian mendengar
taklimat pagi sebelum memulakan tugas. Tugas di institusi perbankan berhadapan
dengan komputer dan dokumen setiap hari sememangnya sukar bagi saya pada ketika
itu. Saya tertanya-tanya apakah yang Allah sedang rancangkan untuk saya? Sampai
bila saya harus melaui rutin kehidupan sebegini? Mendengar keluh kesah rakan
kerja lain membuatkan saya berfikir dan terus berfikir, apakah saya mahu rutin
hidup begini yang bukan mengena dengan jiwa saya ini sampai pencen? Semestinya
saya kata TIDAK. Saya tidak mahu rutin harian saya sebegini rupa. Duit gaji
berkepuk tetapi hati tidak gembira. Untuk apa?
Setelah lebih kurang sebulan
saya bekerja, sepupu saya yang saya panggil Angah membantu saya mendapatkan
rumah sewa di sekitar rumahnya di Bandar Tasik Selatan. Jasa Angah dan
isterinya membantu saya mendapatkan rumah sewa amat saya hargai kerana saya
tidak perlu lagi memandu dari Serdang untuk ke stesen LRT. Saya menyewa sebuah
bilik kecil yang pada ketika itu harganya RM150 sebulan di sebuah pangsapuri di
Bandar Tasik Selatan. Angah ini adalah sepupu saya dari sebelah ibu tetapi dia
membesar di Negeri Sembilan. Kami kurang rapat oleh kerana jarak usia yang
terlalu jauh dan jarang berjumpa juga menyebabkan kami kurang bersembang.
Mujurlah isteri Angah itu peramah orangnya. Jadi kuranglah segan saya untuk
bersembang bersama mereka.
Sejak berpindah ke rumah
baru, saya hanya perlu memandu ke Stesen LRT Bandar Tasik Selatan dan terus
mengambil LRT ke Stesen Masjid Jamek. Begitulah rutin hidup saya sehingga
Februari 2011 sebelum saya memutuskan untuk meletakkan jawatan. Mujur hasrat
saya itu diterima oleh ayah dan ibu serta tidak mendapat bantahan majikan di
tempat kerja. Saya memberi alasan yang saya mendapat kerja baru di daerah
kelahiran saya. Keresahan dan kesukaran mengadaptasi kehidupan di kota yang
selama ini saya tanggung telah hilang sebaik sahaja majikan saya meluluskan
hasrat saya untuk meletakkan jawatan. Maka bermulalah kehidupan saya sebagai
penganggur untuk kesekalian kali lagi.
No comments:
Post a Comment