Monday, November 8, 2010

Kanvas hati

Salam


Di saat aku terasa jatuh, dan bila mana titis2 hangat bergenang di tubir mata, kurasakan sesuatu yang sukar untuk aku tempuh. Lalu aku temui satu blog yang telah banyak membangkitkan semangat lantas aku sapu air hangat itu supaya tiada siapa pun melihatnya. Aku baca kisah-kisah dia. Aku tahu dia gadis cekal, kuat, tabah. Saat itu juga aku berfikir, mampukah aku jadi seperti dia? Dan dalam masa yang sama juga, aku mahu jadi seperti dia. Si gadis yang kuat menempuh onak ranjau kehidupan yang terlalu hebat. Jangan disalah tafsir, air mata bukan bermakna dia tidak kuat, lemah. Tidak. Air mata adakalanya menjadi peneman bila hati merintih, lalu memohon kekuatan dari Yang Esa. Si gadis, aku cintakan tulisan-tulisanmu. Tulisan-tulisanmu itu menaikkan semangat aku supaya aku tidak gentar akan setiap cabaran dan dugaan yang datang. Tulisanmu itu juga menyedarkan aku akan rencah kehidupan yang tidak pernah surut dengan berbagai masalah.


Kadang-kala aku berfikir, alangkah indahnya jika aku ini mahir melakar potret, menghiasi kanvas-kanvas dengan warna air dan pensil. Tiap kali aku melihat pelukis-pelukis jalanan mahupun di galeri using milik mereka, mereka itu tekun sekali. Jarang sekali aku lihat mereka mengambil endah akan manusia yang lalu lalang dan adakalanya berhenti seketika melihat apa yang mereka lakarkan. Mereka tidak perlu berperang rasa tidak puas hati dengan manusia. Mereka tenang sahaja di saat manusia lain mengejar harta dunia. Mereka itu hanya berperang dengan kanvas lukisan. Ah biarlah. Aku bersyukur menjadi aku. Di waktu aku kecil, ayah memarahi aku kerana aku mengucapkan indahnya aku jika aku menjadi dia. Ayah bilang aku mesti bersyukur dengan apa yang aku miliki dan aku harus sayang akan diri aku sendiri. Benarlah kata ayah. Mengapa harus jadi orang lain? Jadilah diri sendiri. Sayangi, hargai diri anda.


p/s: tiap kali aku nak balik ke tempat ni, aku peluk kuning (kucing aku). Dan tiap kali itulah aku akan rasa sebak. Sayang sangat.