Thursday, January 27, 2011

Usaha, tawakal, doa

Assalamualaikum.


 

Entah kenapa jiwa aku seakan-akan tidak dapat menyesuaikan diri di kota ini. Ya, memang aku bukan anak yang lahirnya di kampung nan aman lagi tenang, aku hanya berasal dari sebuah pekan kecil, tetapi sungguh rasa diri ini, aku tidak gemarkan hiruk-pikuk kota. Terkadang aku diam melihat rencah kehidupan di sini. Semuanya berkejar melengkapkan hari-hari yang semestinya sentiasa sibuk. Dan semestinya untuk mencari wang demi keluarga tercinta. Namun aku, yang sudah terbiasa tinggal di bandar serba sederhana, aku sukar untuk terima hiruk-pikuk yang adakalanya hebat mencengkam jiwa. Sungguh. Aku bosan. Sukar untuk aku menikmati keindahan hijau warna pokok di sini. Kesemuanya bangunan semata.

Seorang rakan bertanya, "kau bosan duduk di kota atau kau bosan hidup sebagai pemakan gaji?" sukar untuk aku jawab sebenarnya. Inilah dilema anak yang kian menginjak dewasa yang masih terkial-kial mencari arah tuju kehidupan. Sukar untuk diungkap. Hanya mereka yang sudah merasa sahaja akan memahami. Kadang-kala aku katakan pada diri, aku rela hidup di kampung kerana aku amat cintakan ketenangan. Apa ada pada duit jika jiwa, hati tidak tenang?

Jika diikutkan nafsu, memang manusia mahu bermacam benda. Segala macam benda di dunia ini. Pasti akan rasa puas jika dapat memiliki apa yang diingini. Tetapi kebiasaanya, kemahuan tidak seiring dengan kehendak. Mungkin kerana jika kemahuan seiring dengan kehendak, pasti ramai manusia yang lalai dan leka.

Ya, kehidupan sebagai pemakan gaji tidaklah seindah mana. Apatah lagi melakukan tugas2 yang bukan cabang minat sedia ada. Hanya sekadar mahu mencuba. Ditambah lagi dengan tekanan dari persekitaran. Lama-kelamaan hati boleh menjadi tawar langsung tiada rasa. Apakah rasa hidup sebagai pemakan gaji dengan melakukan tugas-tugas yang diminati? Atau apakah pula rasa hidup sebagai seorang yang menjalankan perniagaan sendiri langsung bebas melakukan apa yang diingini? Bebas melancong ke sana-sini hasil titik peluh sendiri. Ya, tiada yang indah tanpa usaha. Segalanya perlu usaha. Usaha, tawakal dan doa. Menjadi satu.

No comments: